
Hari ini 19 tahun yang lalu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba meninggal dunia.
Beliau dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, N.Sembilan dalam keluarga yang miskin. Pendidikan awalnya di Sekolah Melayu K. Pilah sebelum ke Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka seterusnya ke Sultan Idris Training College (SITC), Tg.Malim, Perak.
Berkhidmat sebagai seorang guru, beliau mula melibatkan diri dalam politik pada 1945 dengan menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) untuk memperjuangkan kemerdekaan negara. Apabila British mengharamkan PKMM, beliau menyertai UMNO pada 1951.
Di usia 34 tahun, beliau dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka yang ke-2 pada 1959, yang termuda dilantik untuk jawatan tersebut & yang pertama dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya. Tun Ghafar menggalas tanggungjawab tersebut hingga Oktober 1967.
Pada 1962, beliau menduduki kerusi Naib Presiden UMNO Persekutuan Tanah Melayu, kemudian dilantik sebagai ahli Kabinet pertama kali sebelum diangkat menjadi Senator & Menteri tanpa portfolio pada 1968 di bawah PM pertama, Tunku Abdul Rahman.
Pada tahun 1985, beliau dilantik menjadi Presiden ‘de facto’ MCA selama 10 bulan untuk meleraikan konflik kepimpinan parti tersebut sehingga perselisihan dua kem dalam MCA selesai. Beliau satu-satunya individu bukan Cina yang pernah mengemudi MCA.
Tahun berikutnya, Tun Ghafar dilantik sebagai Timbalan kepada PM Tun Dr Mahathir Mohamad, menggantikan Tun Musa Hitam yang meletak jawatan. Beliau pula kemudian digantikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi tersebut pada 1993.
Beliau menjadi Ahli Dewan Rakyat sejak 1969, bermula di Parlimen Melaka Utara, kemudian Alor Gajah, paling lama di Jasin (1978-1995) & terakhir di Batu Berendam sehingga beliau bersara dari dunia politik pada 2004.
Ekoran komplikasi jantung, paru-paru & buah pinggang, Tun Ghafar akhirnya pulang ke Rahmatullah pada 23 April 2006 di usia 81 tahun. Jasadnya disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara.
Sumber: Arkib Negara Malaysia, The Patriots
#PeristiwaHariIni